IPOH – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak yang baharu.
Majlis mengangkat sumpah jawatan dan penyerahan watikah dilakukan di hadapan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi perkongsian pada hantaran laman Facebook rasmi beliau, pada Selasa.
Pada hantaran berkenaan, Saarani turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lenggong itu atas pelantikan jawatan berkenaan.
“Semoga dapat menggalas amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaiknya serta bersama-sama membantu melancarkan gerak kerja pentadbiran dan khidmat kepada rakyat,” katanya pada hantaran berkenaan.
Berdasarkan gambar yang dikongsi, turut hadir pada majlis penyerahan watikah berkenaan adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin.

Mohd Tarmizi, 64, dilantik menggalas jawatan berkenaan selepas penyandang, Mohamad Hamidi Baharuddin melepaskannya berkuat kuasa 17 Ogos lalu, atas faktor masalah kesihatan.
Saarani sebelum ini mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan yang dihantar Ketua UMNO Cawangan Pekan Lenggong itu pada 10 Ogos lalu.
Untuk rekod, Mohd Tarmizi menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering selama empat penggal iaitu pada tahun 2004 hingga 2018, sebelum namanya digugurkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MB Perak sahkan setiausaha politik letak jawatan atas faktor kesihatan


