KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menggesa kerajaan menangkap dan mendakwa individu yang didakwa sakau dana Lembaga Tabung Haji (TH).
Katanya, rakyat Malaysia berhak tahu siapa yang menyeleweng dana TH.
“Saya mohon kepada YAB PMX untuk tangkap dan dakwa orang yang dikatakan ‘sakau’ duit Tabung Haji tersebut.
“Rakyat berhak untuk tahu siapa yang sakau,” katanya menerusi hantaran di Facabook.
Menurut beliau, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji telah dilaksanakan dan kerajaan sewajarnya mendedahkan hasil siasatan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati melakukan penyelewengan.
“RCI terhadap Tabung Haji telah dilakukan, maka mohon dedah dan tangkap mereka yang sakau duit Tabung Haji tersebut,” katanya.
Dr. Akmal mendakwa isu berhubung dakwaan penyelewengan dana Tabung Haji telah lama dibangkitkan sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berada di blok pembangkang.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tiada dakwaan terhadap mana-mana individu yang didakwa terbabit berjaya dibuktikan di mahkamah.
“Kepada PMX kami berharap untuk tangkap siapa yang sakau itu,” katanya. – MalaysiaGazette


