Bapa ditahan disyaki dera fizikal, lakukan gangguan seksual terhadap dua anak lelaki

KAMPAR – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penderaan fizikal dan melakukan gangguan seksual terhadap dua anak lelakinya di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa membabitkan dua beradik lelaki berusia 19 tahun iaitu pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) kategori lembam dan adiknya berusia 14 tahun.

Menurutnya, kedua-dua mangsa telah tinggal bersama suspek berusia 51 tahun itu sejak lapan tahun lalu selepas ibu mereka meninggal dunia akibat sakit.

“Siasatan dijalankan susulan maklumat yang diterima daripada pihak sekolah selepas seorang pelajar membuat pendedahan kepada guru kaunseling mengenai kejadian yang didakwa berlaku di rumah kediaman.

“Susulan temu bual lanjut, seorang lagi mangsa yang juga merupakan abang kepada mangsa pertama turut dipercayai menjadi mangsa perbuatan sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya, polis turut merampas sebuah peranti elektronik milik suspek untuk tujuan analisis forensik ketika suspek ditahan pada 5 Ogos lalu.

“Permohonan reman telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan lebih terperinci.

“Kedua-dua mangsa telah dirujuk ke hospital untuk menjalani pemeriksaan perubatan serta menerima perlindungan dan bantuan sewajarnya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.

Mohamad Nazri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk penderaan dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak serta akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau turut menegaskan bahawa siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa atau menjejaskan proses siasatan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Juruteknik didakwa tujuh pertuduhan amang seksual fizikal anak tiri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI