Belum ada kata putus tanam rumput Zeon Zoysia

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih dalam perbincangan dengan kerajaan negeri Perak berhubung penggunaan rumput Zeon Zoysia di Stadium Perak.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab menguruskan padang tersebut, pihaknya perlu melihat perkara itu dari pelbagai sudut.

“Perkara ini masih dalam pertimbangan dan kita masih membincangkan kebaikan dan keburukannya. Ia lebih kepada kualiti padang dan bukannya kos untuk penyelenggaraan.

“Ada beberapa pendapat yang menyatakan rumput jenis itu tidak berapa sesuai untuk pemain.

“Selain itu, sekiranya padang di Stadium Perak ditukar, proses itu akan mengambil masa antara enam hingga lapan bulan. Di mana pemain akan bermain (bola sepak)?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu beberapa negeri yang menolak tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menanam rumput Zeon Zoysia di stadium negeri masing-masing.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata dari segi keupayaan penyelenggaraan padang pihaknya masih mampu melaksanakannya.

Katanya, keputusan mengenai perkara itu dijangka akan dimaklumkan kerajaan negeri menjelang akhir tahun ini.

Sebelum ini, media melaporkan hanya Sarawak yang bersetuju untuk menanam rumput itu manakala negeri lain pula masih memerlukan masa untuk mengkaji tawaran tersebut.

Kuala Lumpur, Terengganu dan Pahang pula menolak tawaran penanaman rumput itu. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI