‘Doakan kami saudara’ pesanan terakhir pasukan bola sepak orang kudung dari Gaza

LUMUT – Pasukan Bola Sepak Orang Kudung As-Salam FC dari Gaza masih tidak dapat dihubungi beberapa hari selepas Palestin diserang Israel pada 7 Oktober lalu sehingga kini, menurut Pengarah Projek Tongkat: Stand with Palestine, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim.

Ahmad Munawar berkata, pesanan terakhir yang diterima beliau daripada salah seorang wakil pasukan bola sepak berkenaan adalah dengan meminta mendoakan keselamatan mereka di sana.

Menurut Ahmad Munawar, sehingga kini tiada sebarang khabar berita yang diterimanya mengenai pasukan berkenaan dan berharap kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.

“Kali terakhir kami dapat berhubung adalah beberapa hari selepas serangan di Gaza dan kata-kata terakhir mereka adalah ‘doakan untuk kami’.

“Selepas itu kami terputus hubungan sampai hari ini dan masih belum tahu sebarang perkembangan mereka di sana, sama ada masih hidup atau sudah syahid,” katanya.

Projek Tongkat: Stand with Palestine
Pengarah Projek Tongkat: Stand with Palestine, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada perlawanan amal antara Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Negeri Perak dan Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Kebangsaan di padang Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL-MIMET) di sini pada petang Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Munawar berkata, mengikut perancangan asal, Pasukan Bola Sepak Orang Kudung As-Salam FC dijadualkan mengikuti siri misi jelajah Projek Tongkat: Stand with Palestine bermula 18 hingga 26 November 2023.

Ujar beliau, pihaknya hampir membelikan tiket penerbangan bagi membolehkan pasukan berkenaan hadir ke Malaysia namun ia tidak dapat dilaksanakan ekoran Gaza dibedil Israel 7 Oktober lalu.

“Kita mahu pasukan As-Salam bersama untuk berkongsi kisah kerana pemain di Malaysia kudung kerana kemalangan dan sebagainya sedangkan mereka hilang anggota badan kerana peperangan sama ada dibom atau terkena tembakan.

“Sayangnya mereka tidak dapat menyertai kita, tetapi semangat mereka kita bawa sepanjang jelajah dan program ini dan berharap ia dapat membuka mata rakyat negara bahawa sukan bola sepak ini simbol keamanan.

Projek Tongkat: Stand with Palestine
Pasukan bola sepak orang kudung Perak bergambar meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan kebangsaan dalam perlawan amal Projek Tongkat: Stand With Palestine di Padang UniKL MIMET pada Rabu.

“Kita nampak di sini bahawa hak rakyat Palestin dinafikan untuk bebas bermain dan inilah mesej yang mahu kita tunjukkan kepada dunia bahawa hak dan kebebasan mereka dinafikan bukan sejak 7 Oktober lalu tetapi sudah lebih 75 tahun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Gaya Hidup Kampus UNIKL, Dr Asmawi Abdul Malik berkata, program amal bersama Projek Tongkat itu dapat memartabatkan sukan golongan istimewa selain menerapkan nilai murni kepada pelajar.

“Ia juga dapat mendedahkan pelajar terhadap kesamarataan antara insan biasa dan golongan istimewa ini.

“Pihak UniKL sentiasa menyokong usaha dalam memastikan pembangunan golongan ini dengan menyediakan kemudahan tapak dan fasiliti,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Malaysia, Palestin sepakat usaha tuntas perlu bagi hentikan keganasan di Gaza

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI