Dua maut, tiga cedera kereta terbabas di pusingan U

MANJUNG – Dua maut manakala tiga cedera apabila kereta jenis Toyota Vios yang mereka naiki terbabas berhampiran pusingan U Kampung Kayan di sini, awal pagi tadi.

Mangsa maut dikenali sebagai Eng Soon Hong, 24, dan Chen Ming Sen, 23, kedua-duanya dari Teluk Intan iaitu penumpang di tempat duduk belakang kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner  Mohamed Nordin Abdullah berkata, dalam kejadian sekitar jam 2.30 pagi itu, sebuah kereta yang dinaiki lima orang termasuk pemandu dipercayai dalam perjalanan dari arah Teluk Intan menghala ke arah Seri Manjung.

Menurutnya, apabila di tempat kejadian kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar batu penghadang jalan.

“Kemalangan itu mengakibatkan dua penumpang cedera parah dan maut di lokasi akibat tercampak keluar daripada kenderaan dinaiki mereka.

“Pemandu serta dua penumpang yang berusia antara 22 hingga 25 tahun hanya mengalami kecederaan di pelbagai bahagian badan dan dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Asyraf Henry Philip di talian 016-557 2540,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Penunggang motosikal maut langgar besi terjatuh dari lori

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI