Dua remaja lelaki cedera selepas langgar, elak kenderaan polis

GERIK – Dua remaja lelaki cedera selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan polis di Kilometer 4 Jalan Raya Timur – Barat (JRTB) Gerik – Jeli berhampiran lampu isyarat Bandariang, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik telah dimaklumkan oleh Pusat Kawalan IPD Gerik berhubung kejadian itu sekitar jam 4.10 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku sewaktu kenderaan utiliti sukan (SUV) pasukan polis jenis Proton X70 yang dipandu seorang pegawai bersama pegawai kanan yang sedang bertugas berhenti di lampu isyarat jalan tersebut.

“Secara tiba-tiba, kenderaan tersebut dirempuh sebuah motosikal yang ditunggangi seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.

“Rempuhan itu telah mengenai bahagian belakang kenderaan dan mengakibatkan penunggang terbabit mengalami kecederaan patah kaki dan tangan kanan serta luka di bahagian kepala.

“Manakala sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lagi remaja berusia 17 tahun sempat mengelak dari melanggar kenderaan pasukan polis lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan mengalami kecederaan luka ringan di bahagian kaki kiri dan kanan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua remaja yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 itu menunggang dalam keadaan laju dan hilang kawalan.

“Pemandu dan penumpang kenderaan pasukan polis tidak mengalami apa-apa kecederaan. Sehubungan itu kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Inspektor Zaidi Yasin di talian 013-448 7374 bagi membantu siasatan. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI