Hentikan pertelingkahan pendapat – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK – Sejak kebelakangan ini terdapat kecenderungan berlakunya pertelingkahan akibat perbezaan pendapat dalam kalangan rakyat kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, pertelingkahan yang berlaku itu boleh menjurus ke arah fizikal jika ia tidak dibendung dalam kadar segera.

“Sejak akhir-akhir ini saya lihat ada tendency (kecenderungan) ke arah pertelingkahan ini yang akan mengakibatkan berlakunya permasalahan dari segi pertelingkahan secara fizikal.

“Kita lihat solidariti rakyat Malaysia membantu Palestin umpamanya perlulah dicontohi dan mengetepikan warna politik apatah lagi perbezaan pertelingkahan harus dielakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali 2023 Parlimen Bagan Datuk, di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, pada Ahad.

Susulan itu, Ahmad Zahid berkata, langkah pembendungan perlu diambil bagi mengatasi pertelingkahan pendapat daripada berlaku.

Bagaimanapun, ujar beliau langkah tersebut bukan melalui undang-undang dan penguatkuasaan sebaliknya dilakukan dengan kesedaran yang perlu dimulakan dengan pemimpin-pemimpin.

“Langkah pembendungan mesti dilakukan bukan dengan undang-undang dan penguatkuasaan tetapi hendaklah dilakukan dengan kesedaran yang mesti dimulakan oleh barisan pemimpin.

“Pemimpin-pemimpin jangan dan tidak harus memprovokasi mana-mana pihak, seteru politik ataupun perkauman dalam perkara ini

“Kita harap kesedaran ini ditimbulkan daripada sekarang meskipun kita mempunyai Kementerian Perpaduan tetapi janganlah mengharapkan kementerian ini saja yang menjalankan peranannya.

“Rakyat keseluruhannya mesti mempunyai kesedaran terutamanya pemimpin-pemimpin politik dan pemimpin-pemimpin kaum di negara ini,” jelasnya. – MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

‘Saya di penghujung perkhidmatan ahli parlimen’ – Ahmad Zahid

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI