‘Saya di penghujung perkhidmatan ahli parlimen’ – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi bayangan bahawa beliau kini berada di penghujung perkhidmatan sebagai seorang ahli parlimen.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, bagaimanapun beliau mahu memastikan daerah Bagan Datuk terus maju serta sifar miskin tegar seperti azam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya menjadi ahli parlimen sejak 1995 dan pada hemat saya ia satu perkhidmatan yang sungguh panjang dan saya sedang berada di penghujung perkhidmatan sebagai ahli parlimen.

“Tetapi sebelum saya menamatkan itu, saya mahu Bagan Datuk membangun, maju, berada nombor satu dalam pendidikan di Perak dan mempunyai infrastruktur yang baik.

“Kita juga mahu kemiskinan dalam kalangan masyarakat India, Cina dan Melayu mesti dibanteras dan inilah azam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk meletakan sifar kemiskinan tegar seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Deepavali Parlimen Bagan Datuk, di Dewan Kompleks UMNO Bagan Datuk, pada Sabtu.

Bagaimanapun Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO enggan mengulas lanjut, ketika ditanya pemberita berkenaan ucapan beliau selepas majlis berkenaan.

“Mungkin Pilihan Raya Umum (PRU) 16, 17, 18, jadi kita tunggulah yang sesuai,” jawabnya ringkas.

Untuk rekod Ahmad Zahid, 70, menjadi Ahli Parlimen Bagan Datuk selama tujuh penggal sejak PRU ke sembilan pada tahun 1995 selepas mengalahkan calon parti Semangat 46 (S46) Asha’ri Marsom dengan majoriti 14,830.

Beliau terus menyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk apabila memenangi PRU ke-10 sehingga PRU ke-15 dan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2015 sehingga 2018 sebelum sekali lagi dilantik pada 2022. -MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI