Jiran suka batuk punca lelaki letupkan bom buatan sendiri di flat

BUTTERWORTH – Lelaki yang meletupkan bahan letupan buatan sendiri (IED) di kaki lima tingkat empat Flat Taman Pandan di sini Ahad lalu mendakwa dia bertindak sedemikian kerana marah kepada jirannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek mendakwa jirannya yang merupakan lelaki warga emas itu selalu batuk setiap kali melalui kaki lima untuk ke rumahnya.

“Suspek dakwa ia seakan-akan sengaja dilakukan jirannya memandangkan setiap kali dia lalu lelaki warga emas itu akan batuk-batuk.

“Tidak puas hati dengan tindakan warga emas itu dikatakan punca dia meletupkan IED itu di bahagian mesin basuh tidak terpakai di hadapan rumah jirannya.

“Bagaimanapun tiada mana-mana penghuni cedera akibat insiden itu namun ada kerosakan pada kaki lima dan jeriji besi kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Asri, pasukan polis dari Bukit Aman juga sedang menjalankan siasatan dalam kes itu bagi mengenal pasti kemahiran suspek dalam menghasilkan IED.

MalaysiaGazette semalam melaporkan polis menahan seorang lelaki tempatan dan wanita Indonesia polis bagi membantu siasatan penemuan bahan letupan buatan sendiri (IED) di Flat Taman Pandan di siniAhad lalu.

Tangkapan ke atas suspek lelaki berusia 32 dan rakan serumahnya, 37, itu dilakukan selepas pihak polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdengar bunyi letupan sebelum menemui satu bungkusan IED di kaki lima tingkat empat flat berkenaan pukul 1.05 tengah hari.

Menurut Mohd Asri, hasil soal siasat suspek mengaku belajar membuat bahan letupan serta pistol itu menerusi internet manakala bahan-bahan pula diperoleh menerusi platform e-dagang.

Difahamkan, suspek telah cuba meletupkan IED terbabit beberapa kali dan percubaan semalam itu berjaya dilakukannya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI