Kes pelaburan KWAP RM200 juta: Anwar bentang di Dewan Negara esok

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan laporan maklumat lanjut berkaitan kerugian pelaburan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM200 juta dengan sebuah syarikat Indonesia di Dewan Negara minggu hadapan.

Beliau berkata, penjelasan itu akan diberikan berdasarkan fakta sebenar termasuk peranan pihak berkaitan dalam keputusan pelaburan berkenaan.

Ujar beliau, meskipun KWAP berada di bawah pentadbiran kerajaan, namun ia merupakan sebuah badan kewangan yang menguruskan dana persaraan penjawat awam dengan struktur pengurusan serta tadbir urus tersendiri.

“KWAP itu betul, dia di bawah (kerajaan) keseluruhannya, tetapi ini badan pemegang (pengurusan) pencen, dana pencen.

“Ada panel pelaburan, ada lembaga, (namun) dia tidak lapor kepada kita. Tetapi saya tidak mahu beri alasan, biar kita berikan apa faktanya di Dewan Negara nanti pada esok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program MADANI Kita di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, Tambun, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan KWAP bernilai RM200 juta dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan berkata, pasukan siasatan dari Ibu Pejabat SPRM telah dibentuk bagi mengkaji dan meneliti perkara itu secara menyeluruh.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis di Parlimen mengesahkan KWAP menjadi mangsa penipuan terancang dalam pelaburan berkenaan susulan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat Indonesia itu.

Menurut MOF, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil langkah tegas termasuk memulakan tindakan undang-undang, meneruskan usaha mendapatkan semula dana, menjalankan semakan tatakelola dalaman serta memperkukuh kawalan bagi melindungi kepentingan pelaburan

Ketika ini eFishery sedang disiasat susulan dakwaan penyelewengan kewangan, termasuk manipulasi penyata kewangan sehingga hasil syarikat dilaporkan lebih tinggi daripada jumlah sebenar. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kes eFishery: Tindakan susulan sewajarnya telah diambil KWAP

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI