LALUAN KUBU GAJAH-SUMPITAN DITUTUP SEMENTARA AKIBAT TANAH RUNTUH

IPOH – Jalan Kubu Gajah-Sumpitan (Jalan A021) dari seksyen 25 hingga seksyen 33 di daerah Larut Matang dan Selama ditutup sepenuhnya selama seminggu akibat tanah runtuh yang berlaku pada 2 petang tadi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak dalam satu notis memaklumkan penutupan jalan itu bermula 10 pagi tadi hingga 11.59 malam 3 Okt ini.

“Segala kesulitan amat dikesali. Terdapat laluan alternatif yang menghubungkan Kampung Sumpitan dan Kampung Masjid,” menurut notis itu yang disiarkan di Facebook jabatan itu hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah Khalil Yahaya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya berkata laluan Bukit Sumpitan Ijok-Lenggong turut ditutup akibat tanah runtuh.

Beliau berkata pengguna yang melalui laluan itu diminta menggunakan laluan alternatif dan proses pembaikan jalan sedang diusahakan oleh agensi kerajaan.

“Pihak JKR akan maklumkan semula pembukaan laluan ini setelah selesai nanti,” katanya yang turut menyertakan rakaman video kejadian tanah runtuh terbabit.

— BERNAMA

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI