Lapangan terbang antarabangsa: Perak harap Persekutuan ada khabar gembira

SERI ISKANDAR –  Perak mengharapkan berita gembira dari Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar berhampiran Felcra Nasaruddin di Bota, dekat sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya telah mengusulkan cadangan projek berkenaan kepada Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Kementerian Kewangan (MoF), sebelum ini. 

Katanya kerajaan negeri melihat projek itu sebagai satu keperluan memandangkan Perak sedang dalam perancangan bagi membangunkan projek Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC). 

“Kita sudah ada kawasan yang telah dikenal pasti untuk projek lapangan terbang itu akan tetapi ia masih tertakluk kepada kepada MoT dan MoF. Kita ‘jual’ idea kerana kita hendak membangunkan LuMIC dan oleh sebab itu kita melihat ada keperluan untuk membangunkannya. 

“Akan tetapi kelulusan projek itu masih tertakluk kepada persetujuan dua kementerian itu. Kalau mereka setuju, kita dapatlah (lapangan terbang itu), manakala jika tidak, maka kita tidak ada upayalah. Namun, kita harap mereka bersetuju untuk jangka masa panjang,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media Program ‘Tanya Cikgu Saarani’ bersempena dengan Program Mesra ke Daerah Perak Tengah, di UiTM Cawangan Perak, di sini pada Isnin. 

Pada Julai media melaporkan Kerajaan Perak dan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan cadangan projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar berhampiran Felcra Nasaruddin di Bota. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, dilaporkan berkata projek itu dicadang dibangun di atas tanah berkeluasan 1,618.74 hektar.

Lokasi yang dikenal pasti itu terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari tapak asal cadangan pembinaan lapangan terbang berkenaan. – MGPerak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI