Lebih 30 tahun bersama politeknik, Shamsuri tekad harumkan PUO

MENGEPALAI sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA), bukanlah mudah apatah lagi jika usianya melebihi 50 tahun dan merupakan politeknik terawal dalam negara memandangkan namanya sudah cukup gah dalam melahirkan graduan yang berjaya.

Bagi anak kelahiran Negeri Sembilan, Dr. Shamsuri Abdullah, pelantikan beliau sebagai Pengarah Politeknik Ungku Omar, Ipoh, bagai sirih pulang ke gagang kerana pernah menjadi pensyarah di IPTA berkenaan.

Bapa dan datuk kepada lima cahaya mata serta lima orang cucu ini berkata, meskipun berpengalaman mengajar selama 24 tahun dan enam tahun lagi berkhidmat dalam bidang pengurusan, amanah yang digalasnya sebagai Pengarah PUO merupakan tanggungjawab yang besar.

Ujar beliau, ini kerana PUO merupakan politeknik terawal ditubuhkan pada 2 Jun 1969 dan usianya kini 54 tahun selain nama IPTA berkenaan turut tersohor seluruh negara.

“Saya tidak pernah menyangka saya dipindahkan ke PUO kerana pernah berkhidmat sebelum ini sebagai pensyarah dan bila dilantik sebagai pengarah jujurnya saya berasa sedikit tertekan memandangkan PUO ini amat dikenali seluruh Malaysia.

Editor MG Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said (kiri) menemubual Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO), Dr. Shamsuri Abdullah di Perpustakaan Tan Sri Othman Merican, PUO, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Selain itu, mengurus sebuah politeknik yang terbesar dari segi kemasukan pelajar buat masa ini dengan lebih 5,000 orang bersama lebih 600 pensyarah dan kakitangan merupakan satu cabaran yang baharu serta besar bagi saya.

“Jadi apabila mengetahui dipindahkan ke PUO saya mempunyai satu visi untuk meningkatkan prestasi dan sumbangan IPTA ini kepada negara dan masyarakat lebih-lebih lagi apabila PUO diumumkan sebagai politeknik Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX),” katanya kepada MG Perak.

Shamsuri berkata, pengumuman PUO sebagai politeknik APEX, bermaksud IPTA berkenaan bakal menceburi dan meningkatkan penawaran program dalam bidang-bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju seperti Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), Internet Kebendaaan (IoT), pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya.

Jelas beliau, komposisi peringkat pengajian POU juga akan menyaksikan peningkatan tawaran sehingga 50 peratus program ijazah.

Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO), Shamsuri Abdullah beramah mesra dengan kakitanganya di Perpustakaan Tan Sri Othman Merican, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Sudah tentu ini merupakan satu aspirasi yang amat berat dan tinggi bagi saya memandangkan buat masa ini daripada 21 program yang ditawarkan di PUO hanya dua sahaja di peringkat ijazah sarjana muda.

“Bagaimanapun, saya yakin dengan sokongan padu daripada pasukan PUO terdiri daripada pensyarah, kakitangan serta pelajar-pelajarnya sendiri kami boleh bersama-sama membawa PUO ke mercu lebih gemilang,” katanya.

Terima pengiktirafan APACC dan kebolehpasaran graduan kini 96 peratus

Bercerita lanjut, graduan Doktor Falsafah (P.h.D) Pendidikan Perniagaan dan Keusahawanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini berkata, walaupun baharu setahun menjadi Pengarah PUO, beberapa siri kejayaannya sepanjang 2023 amat membanggakan beliau.

Shamsuri berkata, kejayaan paling bermakna di bawah pentadbiran beliau adalah apabila PUO berjaya memperoleh pengiktirafan akreditasi daripada Suruhanjaya Pensijilan dan Akreditasi Asia Pasifik (APACC) yang berpengkalan di Manila dari sudut TVET.

Suasana sekitar Perpustakaan Tan Sri Othman Merican, Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Alhamdulillah kita mendapat pencapaian pada tahap tertinggi iaitu Platinum memandangkan sebelum ini kita menerima pengiktirafan pada peringkat Gold sahaja.

“Ini menandakan bahawa pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional yang ditawarkan di PUO mendapat pengiktirafan di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Selain itu beliau juga berkongsi kejayaan PUO apabila peratus kebolehpasaran graduannya mencapai tahap 96 peratus pada tahun lalu dan ini membuktikan bahawa graduan yang dihasilkan PUO berkualiti.

“Biarpun berdepan pelbagai cabaran dalam melahirkan graduan berkualiti seperti persekitaran, pengurusan dan kemudahan PUO yang agak berumur dan usang, tapi saya berbangga kerana aspek tenaga pengajarnya yang berkebolehan dan berpengalaman.

“Ini memberi keyakinan kepada ibu bapa dan pelajar apabila mendaftar di PUO anak mereka atau pelajar itu sendiri akan memperoleh pengalaman pembelajaran yang berkualiti,” katanya.

Kerjasama agensi kerajaan negeri perhebat TVET

Shamsuri berkata, dalam memastikan PUO menjadi antara salah sebuah IPTA yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi di Perak, pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan negeri.

Ujar beliau, kerjasama berkenaan memberi tumpuan dalam meningkatkan bidang TVET di Perak selain melahirkan lebih ramai graduan TVET dalam menyokong usaha Pelan Perak Sejahtera 2030.

Suasana sekitar Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Kita bekerja rapat dengan Kerajaan Negeri Perak melalui agensi seperti Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) melalui beberapa program yang dijalankan mereka seperti penganjuran bengkel gerakan meningkatkan TVET di Perak.

“Kita memberi kerjasama menghadiri bengkel berkenaan dengan memberi idea dan pandangan bagaimana kita boleh meningkatkan penglibatan IPT di Perak yang menawarkan bidang berasaskan TVET,” katanya.

Katanya lagi, PUO turut berkolaborasi bersama agensi dan jabatan negeri, persekutuan dan syarikat-syarikat swata dengan membantu mereka menghasilkan produk inovasi.

Ditanya mengenai harapan beliau dalam mengepalai PUO, Shamsuri berkata, pihaknya akan terus berusaha dalam memastikan IPTA berkenaan berada di mercu lebih cemerlang dan gemilang.

“Sama-samalah kita doakan dengan perancangan seperti pembangunan fasiliti baharu, penawaran program baharu, latihan Upskilling (Peningkatan Kemahiran)dan Reskilling (Latihan Semula) pensyarah-pensyarah kita dapat membawa PUO ke mercu lebih cemerlang dan gemilang,” katanya. -MG PERAK

TONTON VIDEO:

MGPerak: Lebih 30 Tahun Bersama Politeknik, Shamsuri Tekad Harumkan PUO

MGPerak: Lebih 30 Tahun Bersama Politeknik, Shamsuri Tekad Harumkan PUO

Karnival Kerjaya PUO tawar lebih 300 peluang kerja

GreenCity AR iPad Challenge: PUO bawa pulang RM15,000

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI