Lelaki fitnah anggota polis terkorban insiden Ulu Tiram didakwa esok

IPOH – Polis Perak telah melengkapkan kertas siasatan terhadap lelaki yang memuat naik komen berunsur fitnah di laman sosial terhadap anggota polis yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kertas siasatan itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri dan suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Tapah pada Rabu.

“Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 500 Kanun keseksaan di Mahkamah Majistret Tapah pada pagi 11 september 2024.

“Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Ujar Azizi, terdahulu lelaki berkenaan telah direman selama enam hari sejak 6 September lalu bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 2001.

Media terdahulu melaporkan, suspek terbabit ditahan sekitar jam 8 malam di sebuah rumah di Masai, Johor pada 5 September susulan satu laporan polis yang diterima daripada waris Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar pada 29 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah telah membuat tangkapan terhadap suspek serta merampas sebuah telefon bimbit.

Dalam kejadian pada 17 Mei lalu, dua anggota polis maut, manakala seorang lagi parah selepas ditembak dan ditetak lelaki bertopeng yang menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Lelaki fitnah anggota polis terkorban insiden Ulu Tiram disambung reman

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI