Lelaki mengaku tidak bersalah buat hantaran jelik hina Islam

KUALA LUMPUR – Seorang jurutera teknologi maklumat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi jelik yang menghina agama Islam berhubung isu homoseksual di Facebooknya, Januari lepas.

Ahmad Feisal Mohd Kamil, 61, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di akaun Facebook ‘Feisal Kamil’ pada 12.17 tengah hari, 10 Jan lepas.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ di Wangsa Maju pada 1.45 tengah hari, 12 Jan lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan OKS dilarang membuat sebarang hantaran sehingga kes selesai.

Peguam Muhammad Sufyan Wafiq Mohd Zainal mewakili Ahmad Feisal memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

“Anak guam saya mempunyai masalah kewangan selepas ditipu semasa menguruskan penempatan anaknya yang belajar di Perancis.

“Berikutan kejadian itu, anak guam saya mengalami kerugian RM10,000 dan terpaksa menggunakan wang simpanan untuk membayar kos perbelanjaan anaknya di negara itu,” katanya.

Hakim N. Priscilla Hemamalini membenarkan OKS diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Disember ini untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI