IPOH – Perlawanan akhir pertandingan sukan elektronik (e-sukan), Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) menyaksikan kemenangan Miracle Gaming yang cemerlang menewaskan Watermelon dengan pungutan mata dua berbalas kosong (2-0).
Pertandingan yang berlangsung di reruai e-sukan Agro Millienia sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (HPPNK) 2023 itu menyaksikan 30 pasukan berentap bagi merebut hadiah utama berupa wang tunai RM3,000.
Penggiat e-sukan profesional Sir Cloud dan Aiman Laphel turut memberikan ulasan secara langsung pada perlawanan akhir MLBB berkenaan.
Kapten pasukan Miracle Gaming, Akmal Aqil Sarbani atau Prime Hashii berkata, semangat berpasukan dan strategi yang baik membolehkan mereka mengalahkan saingan mereka dengan mudah.
“Kami berbangga memenangi tournament ini memadangkang kami dari Kuala Lumpur ke Perak berlawan dengan 30 pasukan lain dan kami juara.
“Strategi kami adalah lebih berusaha ditambah dengan chemistry yang kuat membolehkan kami bersaing di peringkat final pada hari ini (semalam).
“Persaingan untuk menuju ke final semakin lama semakin kuat namun kami tetap berusaha lebih untuk menjadi juara. Selepas ini kita akan fokus pada kejohanan di Putrajaya,” katanya ketika ditemui di reruai e-sukan Agro Millenia, Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini, pada Ahad.
Akmal Aqil berkata, pasukan yang baru ditubuhkan sembilan bulan lalu itu pernah memenangi beberapa kejohanan MLBB yang berlangsung di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pelubuhan Peladang, Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim berkata, penampilan e-sukan di segmen Agro Millenia sempena HPPNK 2023 menjadi tarikan (crowd puller) pengunjung muda yang secara tidak langsung memperkenalkan mereka dalam bidang pertanian.
“Kita ambil contoh NAFAS dan NEKMAT. Sebelum ini orang muda tidak tahu apa itu NAFAS atau NEKMAT tetapi melalui e-sukan ini ramai akan cari tentang NAFAS, NEKMAT, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mendapat maklumat mengenai agensi dan jabatan di bawah kementerian ini.
“Jadi, apa yang kita nak buat kat sini adalah kita mencetuskan idea baharu dalam kalangan anak muda untuk sama-sama terlibat dalam bidang pertanian,” jelasnya.
Beliau berkata, HPPNK kali ini turut menekankan Agro Inovasi dan Teknologi iaitu dunia yang banyak dikuasai golongan muda.
“Inilah budaya dan cara baru dalam bidang pertanian dalam kita meningkatkan produktiviti untuk melibatkan lebih ramai orang muda,” jelasnya.
Perlawanan akhir MLBB itu menyaksikan Miracle Gaming membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 selepas dinobatkan sebagai juara, diikuti Watermelon yang menerima hadiah wang tunai RM1,000 selepas menduduki tempat kedua.
Manakala di tempat ketiga, FTSLR x Cecube pula membawa pulang wang tunai RM500 dan pasukan Extraordinary 7 yang memperoleh tempat keempat membawa pulang RM400.
Kesemua pemenang turut membawa pulang trofi dan sijil penyertaan pertandingan.
Acara penyampaian hadiah disempurnakan Nik Mohd Shaharil diiringi Pengurus Besar NEKMAT, Azrin Shah Ismail dan Timbalan Pengurus Besar Nafas, Saripol Baharin Karim.
Pada majlis tersebut turut diadakan cabutan bertuah yang menawarkan 11 hadiah bernilai RM10,000 untuk pengunjung yang singgah ke reruai e-sukan tersebut.
Hadiah utama berupa PlayStation 5 (PS5) berjaya dimenangi Asmidar Ahmad diikuti hadiah tempat kedua iaitu skuter elektrik menjadi milik Muhammad Ammar Abdullah.
Tempat ketiga pula dimiliki Mohd Abdul Hakim Mohd Fiee yang membawa pulang GoPro Hero 10 disusuli Mohammad Zaid Md Said yang mendapat tablet jenama Honor (keempat) dan Muhammad Thaha Shariff membawa pulang set peralatan memancing jenama Shimano (kelima). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
NAFAS, NEKMAT anjur e-sukan tarik belia ke HPPNK