Perak kemuka cadangan tiga lokasi pembinaan kilang lantanid

GERIK: Kerajaan Perak telah mengemukakan cadangan tiga lokasi bagi membuka kilang mengasingkan elemen mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) lantanid di negeri ini kepada Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan berkenaan telah dikemukakan kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

“Kita belum menetapkan lagi di mana akan dibuka kilang memproses lantanid ini kerana kita perlu mendapatkan kelulusan daripada NRECC.

“Ini kerana hanya Kerajaan Perseketuan sahaja yang memberi kebenaran kepada Perak untuk membuka pusat perindustrian bagi mengasingkan elemen mentah kepada sekurang-kurangnya 15 elemen lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada program Bicara Profesional dan Apresiasi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad Bersama-Sama Warga Pendidik Daerah Hulu Perak, di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak, pada Jumaat.

Saarani Mohamad, Kilang Lantanid
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan anugerah Pendidikan Khas kepada Nur Ain Atiqah Abdul Jalil pada Majlis Bicara Profesional dan Apresiasi YAB Menteri Besar bersama warga pendidik di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak, Gerik. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 OKTOBER 2023

Mengulas lanjut, Saarani berkata, tiga lokasi yang dicadangkan kerajaan negeri kepada NRECC bagi pembinaan kawasan perindustrian adalah di Daerah Mualim, Ipoh dan Hulu Perak.

Menurut beliau, cadangan lokasi pertama yang dikemukakan adalah di kawasan Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) berhampiran dengan Proton City di Tanjung Malim.

“Proton City merupakan kawasan AHTV jadi sudah tentu penggunaan bagi elemen-elemen lantanid yang diekstrak sangat berguna kepada vendors di sana.

“Tetapi jika cadangan itu ditolak kita mempunyai lokasi kedua yang dicadangkan iaitu di Silver Valley Technology Park (SVTP) di Khantan Baharu di Ipoh,” katanya.

Tambah Saarani, kerajaan negeri turut mencadangkan lokasi ketiga di Gerik memandangkan lombong lantanid berkenaan terletak di Daerah Hulu Perak dan berhampiran dengan parlimen tersebut.

“Kita juga merasakan Gerik sesuai dibina kilang memandangkan ia merupakan kawasan pengeluaran utama bagi bijih lantanid selain tidak menyukarkan dari segi pengangkutan untuk membawanya keluar jauh,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Kerajaan Perak telah mendapat mendapat persetujuan daripada NRECC ketika Mesyuarat Mineral Negara sebelum ini untuk membangunkan sebuah makmal lantanid di negeri ini.

Menurut Saarani makmal berkenaan ditubuhkan bersama Menteri Besar Incorporated (MB Inc Perak), Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP). – MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Makmal analisis NR-REE dijangka beroperasi tahun depan – MB Perak 

Perak peroleh kelulusan luaskan operasi lombong NR-REE – Saarani

MGPerak: Perak Tidak Langar Peraturan Eksport Ree – Saarani

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI