Makmal analisis NR-REE dijangka beroperasi tahun depan – MB Perak 

IPOH – Makmal bagi menganalisis bahan nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dijangka beroperasi di Perak pada tahun hadapan, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad. 

Katanya, inisiatif itu berupaya merancakkan lagi industri mineral, selari dengan agenda perlombongan bertanggungjawab yang menekankan keseimbangan ekosistem seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

Ujar beliau, penubuhan makmal berkenaan mampu menjadikan Perak hab yang komprehensif dan holistik bagi industri mineral serta menjadi sumber rujukan negeri-negeri di Malaysia dan juga negara lain.

Selain menyediakan kepakaran menganalisis dan menentusahkan kandungan elemen nadir bumi, makmal berkenaan juga membantu membangunkan pangkalan data untuk rujukan pada kerajaan negeri dalam membangunkan industri nadir bumi serta mengurangkan kebergantungan pihak industri kepada makmal luar negara.

“​Pada masa sama, makmal analisis mineral ini juga akan berupaya membantu Perak menjadi pemangkin di peringkat huluan yang akhirnya akan memberi nilai tambah kepada peringkat pertengahan dan peringkat hiliran di masa depan sekaligus menjadi penanda aras penting bagi pembangunan industri nadir bumi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

Menurut Saarani, keupayaan makmal berkenaan juga tidak hanya terhad kepada analisis unsur nadir bumi Lantanida pada masa hadapan, malah berkemampuan menganalisa mineral- mineral lain yang berpotensi dikembangkan seiring hala tuju kerajaan negeri dari semasa ke semasa.

Semalam menteri besar berkata Perak bakal membina sebuah makmal NR-REE yang pertama di negara ini di bawah tiga agensi iaitu Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Katanya pembinaan makmal itu sudah mendapat kebenaran Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA) sewaktu Mesyuarat Mineral Negara pada Isnin. – MG Perak. 

 

BACA LANJUT : Perak akan bina makmal NR-REE pertama di Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI