Perak sasar negeri sifar tapak pelupusan sampah menjelang 2030

IPOH – Kerajaan negeri Perak menyasarkan untuk menjadi negeri sifar tapak pelupusan sampah menjelang 2030 sejajar dengan prinsip ketiga dalam Perak Sejahtera 2030 iaitu kelestarian penggunaan sumber dan sasaran menjadikan Ipoh Bandar Rendah Karbon menjelang tahun 2030.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bagi merealisasikan tujuan itu Kerajaan Negeri melalui inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menggunapakai sistem pelupusan sampah dan sisa pepejal baharu melalui kaedah thermowaste.

Menurutnya, teknologi itu adalah kaedah pengasingan sisa pepejal isi rumah dengan lebih cekap, cepat serta mudah.

“Sisa pepejal yang diasingkan boleh memberi pulangan pendapatan melalui penghasilan komoditi seperti biojisim, plastik dan logam untuk dijual kepada pihak industri.

“Asas cara teknologi ini berfungsi ialah melalui proses pensterilan dan pembersihan menggunakan haba, wap dan tekanan ke atas sisa pepejal tanpa perlu melakukan pengasingan di peringkat awal dan selepas 30 minit, penguraian sisa pepejal boleh diasingkan kepada bentuk biojisim, plastik, logam dan inert.

“Semua komoditi asas ini kemudiannya boleh dijual di pasaran. Contohnya, sisa pepejal yang ditukar kepada bentuk biojisim akan dijual sebagai bahan bakar menggantikan arang batu untuk kegunaan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir ke Program Hari Rendah Karbon Ipoh di Persiaran Dewan Bandaraya, Jalan Sultan Abdul Jalil di sini, pagi ini. di Persiaran Dewan Bandaraya, Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada Ahad.

Saarani berkata, teknologi thermowaste yang digunakan secara meluas di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah termasuk Poland dan Sepanyol dilihat berupaya menangani isu alam seperti pencemaran bau sekaligus mampu meningkatkan kualiti kesihatan awam.

“Pada 17 Oktober lalu, MBI telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Thermowaste Mancuso Energy Sdn Bhd dan Selekta Spektra bagi membolehkan kajian menyeluruh dibuat bagi cadangan pembinaan loji thermowaste yang dijangka bermula Mac tahun hadapan.

“Kita cuba di Ipoh, jika semuanya berjalan dengan baik dan berbaloi dari segi pelaburan, kita akan perkembangkan ke 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain.

“Cuma nanti kita kena fikir ialah kawasan yang diluar PBT sebab PBT control dalam kawasannya sahaja. Tapi ini teknologi akan diperluaskan,” jelasnya.

Katanya, ketika ini jumlah sisa pepejal yang dihasilkan sehari di Bandar raya Ipoh sebanyak 500 tan dan pembinaan loji kelak akan membolehkan semua tapak pelupusan ditutup.

“Berhubung sampah haram, kita akan mengarahkan semua PBT membuat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan keadaan itu tidak berlaku,” katanya.

Terdahulu, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan melancarkan Ulang Tahun Ke-5 Geopark Lembah Kinta dan International Geopark Run sempena Program Hari Rendah Karbon Ipoh di Persiaran Dewan Bandaraya, Jalan Sultan Abdul Jalil di sini, pagi ini.

Turut berangkat Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Ipoh akan jadi bandar raya pertama di Asia guna sistem Thermowaste

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI