Ipoh akan jadi bandar raya pertama di Asia guna sistem Thermowaste

IPOH – Ipoh bakal menjadi bandar raya pertama di Asia yang mengitar semula 100 peratus sisa pepejal menggunakan sistem Thermowaste.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sistem itu adalah konsep baharu yang memberi kegunaan tambahan kepada semua sisa melalui proses mengitar semula dan mengasingkan sisa pepejal isi rumah dengan lebih cekap, cepat dan mudah.

Katanya, ia selari dengan konsep ekonomi donut yang menekankan konsep ekonomi kitaran.

“Selesai pembinaan loji ini, Ipoh akan menjadi bandar raya pertama di Asia yang mengitar semula 100 peratus sisa menggunakan teknologi tersebut.

“Asas cara teknologi ini berfungsi adalah melalui proses pensterilan dan proses pembersihan yang mana haba, wap dan tekanan dikenakan ke atas sisa pepejal tanpa perlu melakukan pengasingan sebelumnya.

“Selepas 30 minit sisa pepejal diproses, hasil pengeluarannya sudah sedia untuk disisih dalam empat pecahan berbeza iaitu biomass, plastik, logam dan inert.

“Ia adalah teknologi mesra alam kerana ia tidak menghasilkan pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MBI, Thermowaste Mancuso Energy Sdn Bhd dan Selekta Spektra, bagi projek Thermowaste di sini.

Dalam pada itu, semua komoditi asas itu kemudiannya akan dijual di pasaran, sekali gus membolehkan bahan buangan tersebut digunakan semula dalam bentuk berbeza.

“Sebagai contoh, sisa pepejal yang ditukar bentuk kepada biomass akan dijual sebagai bahan bakar menggantikan arang batu untuk kegunaan industri,” jelasnya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI