Perak teroka kerjasama teknologi industri mineral dengan syarikat di China

IPOH – Kerajaan Perak dalam usaha menjalinkan kerjasama dengan China bagi meneroka teknologi berhubung industri mineral khususnya melibatkan unsur nadir bumi.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, delegasi kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad telah mengadakan lawatan ke kilang pengasingan unsur nadir bumi, China Rare Earth Group Co. Ltd (CREG) di Nanning, China, semalam.

Menurutnya, dalam salah satu rangka lawatan ke China, lawatan delegasi Perak ke bandar raya yang terkenal dengan gelaran ‘Kota Hijau’ itu bukan sahaja dilihat sebagai usaha mengukuhkan hubungan bilateral antara Malaysia-China, tetapi juga sebagai memenuhi jemputan CREG September lalu.

Jelasnya lagi, selain meneroka potensi pelaburan ke Perak, lawatan itu juga bertujuan meninjau teknologi terkini industri mineral di negara itu yang boleh dimanfaatkan oleh Perak sebagai negeri yang berpotensi menjadi hab pembangunan industri tersebut di Malaysia.

“Lawatan ini juga membolehkan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) selaku penggerak utama industri mineral di Perak dapat mengukuhkan hubungan strategik penggunaan teknologi khususnya dalam pengekstrakan unsur nadir bumi secara selamat dan bertanggungjawab.

“Ini membolehkan usaha berterusan dilakukan bagi menambahbaik strategi pembangunan industri mineral setelah terbukti berjaya melalui penggunaan teknik In-situ Leaching (ISL) iaitu kaedah yang paling selamat, mesra alam dan mampan bagi perlombongan Lantanida.

“Lawatan kerja tersebut amat signifikan memandangkan Perak berjaya menjalankan projek perintis perlombongan Lantanida di Mukim Kenering, Hulu Perak sehingga memberi pulangan hasil kira-kira RM16 juta dalam bentuk royalti kepada Kerajaan Negeri setakat Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah kenyataan sama, dalam lawatan kerja itu, delegasi Perak turut diberikan penerangan berkaitan pemuliharaan tapak selepas pengestrakan unsur nadir bumi oleh Pengarah Urusan CREG (Guangxi) Rare Earth Co. Ltd, Zhang Xinguang selain dibawa melawat kilang pengasingan unsur nadir bumi milik syarikat itu.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee, wakil-wakil Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) termasuk MB Inc., dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) serta wakil agensi-agensi teknikal negeri. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI