PKR Perak sambut baik pendirian MP Kuala Kangsar sokong kepimpinan PM

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berhubung keputusannya menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata sokongan tersebut membuktikan beliau berjiwa besar serta memperlihatkan perbezaan fikrah atau manhaj politik bukan satu halangan untuk bersama-sama dalam mencurahkan khidmat bakti terbaik demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, perkara tersebut harus dijadikan panduan dan tauladan kepada setiap wakil rakyat pembangkang kerana keutamaan perlu diletakkan kepada rakyat sepertimana janji-janji yang telah dilontarkan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Sudah tiba masanya setiap wakil rakyat khususnya daripada pihak pembangkang menghentikan segala drama dan lakonan yang bukan hanya tidak memberi nilai tambah malah mengganggu gugat kestabilan negara.

“Sebaliknya, dokongan dan komitmen perlu dizahirkan kepada usaha Kerajaan Perpaduan untuk meminimumkan masalah pengangguran, memperkasakan pertumbuhan ekonomi serta menyelesaikan segala permasalahan yang melingkari kehidupan rakyat ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Beliau turut yakin dan optimis jika perkara ini dapat diletakkan sebagai asas utama bermakna usaha untuk memateri konsep politik berhemah dan matang dapat diperkasakan secara tuntas.

Selain itu, katanya, PKR turut berpendapat kepimpinan diterajui Anwar perlu diteruskan bagi memastikan segala yang dijanjikan dapat ditunaikan sekali gus memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

“Kita percaya mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Kerajaan Madani untuk mentadbir akan digunakan sebaik-baiknya bagi mencapai matlamat merubah Malaysia menjadi sebuah negara mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan antara satu sama lain,” ujarnya.

Terdahulu, portal The Star Online melaporkan Iskandar Dzulkarnain mengisytiharkan sokongan kepada Anwar selaku Perdana Menteri dengan menyifatkan langkah itu untuk meringankan beban sara hidup yang dihadapi pengundi di Kuala Kangsar.

Iskandar yang memenangi kerusi parlimen Kuala Kangsar pada PRU15 lalu juga dilapor berkata, keputusan itu yang bermula hari ini untuk melihat sama ada Anwar akan menepati ikrar berhubung dana peruntukan untuk Ahli Parlimen.- MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN: MP Kuala Kangsar sokong PM Anwar kuatkan lagi blok kerajaan – Saarani

 

 

 

 

 

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI