MP Kuala Kangsar sokong PM Anwar kuatkan lagi blok kerajaan – Saarani

IPOH – Keputusan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid untuk menyokong pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat akan mengukuhkan lagi kedudukan Blok Kerajaan Perpaduan di Parlimen.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara itu juga akan memudahkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar untuk mendapat sokongan majoriti dua pertiga terutama dalam meluluskan mana-mana Rang Undang-undang (RUU) yang dibentangkan kelak.

“Ya (ia akan menguatkan kedudukan blok kerajaan di Parlimen), kerana ketika ini kerajaan persekutuan mempunyai sokongan 147 Ahli Parlimen yang mana ia kurang satu kerusi untuk mendapat jumlah dua pertiga.

“Jadi, dengan keputusan itu, tidak kira sama ada dia melompat (menukar parti) atau tidak, apabila tiba masa pengundian mana-mana RUU yang memerlukan sokongan majoriti, maka dengan satu sokongan itu, ia akan (mudah) untuk meluluskanya (di peringkat Parlimen),” katanya.

Saarani berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersempena dengan Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia, dekat sini, pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak terdahulu diminta mengulas laporan mengenai keputusan Iskandar Dzulkarnain untuk menyokong Anwar setelah meneliti rintihan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Walaupun menyokong kepimpinan kerajaan ketika ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dilaporkan berkata beliau tidak meninggalkan partinya atas dasar taat dan setia.

Ketika diminta mengulas lanjut berkenaan perkara itu, Saarani berkata Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu mungkin mempunyai alasan tersendiri berhubung keputusannya itu.

“Beliau mungkin ada alasan tersendiri mengapa buat keputusan itu,” jelas Saarani.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Iskandar Dzulkarnain menang di kerusi tradisi BN iaitu Parlimen Kuala Kangsar dengan majoriti 3,566 undi.

Beliau bersaing empat penjuru menewaskan calon dari BN, Datuk Maslin Sham Razman (10,814 undi); Pakatan Harapan (PH), Ahmad Termizi Ramli (10,356 undi) dan Pejuang, Yusmalia Mohamad Yusof yang memperoleh 204 undi. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI