LENGGONG – Seramai 200 peserta dari 25 negara memulakan cabaran sukan pemotoran lasak Rimba Raid Lenggong 2024 hari ini.
Antara negara yang beraksi pada edisi kesembilan kali ini adalah Indonesia, Thailand, Vietnam dan Malaysia yang melibatkan peserta lelaki serta wanita.
Upacara pelepasan peserta disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Kampung Beng, di sini, pagi tadi.
Turut mengiringi Saarani, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee serta Pengasas dan Pengarah Urusan Rimba Raid, Datuk Nik Huzlan Nik Hussain.
Dalam pada itu, Saarani berharap program tersebut tidak akan menjadi yang pertama dan terakhir malah akan diteruskan pada tahun berikutnya.
“Ini adalah kawasan luar bandar dalam hutan belantara dan di seberang sungai Perak adalah Banjaran Titiwangsa, jadi sudah tentu ia menawarkan cabaran yang menarik.
“Sebab itu kita pilih kampung ini, tapi untuk tahun inilah. Bila jalan baharu di sini sudah siap, kita kena cari tapak pelancaran yang baru dengan laluan sama.
“Mungkin kita akan masukkan acara ini dalam kalendar pelancongan negeri. Terima kasih diucapkan kepada Datuk Nik dan pasukan Rimba Raid yang akhirnya berjaya untuk membawa program ini ke sini.
“Kita berharap ia bukan kali pertama dan terakhir serta akan menjadi program berterusan pada tahun berikutnya, insyaALLAH,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pelepasan program berkenaan.
Sementara itu, Nik Huzlan berkata, pada edisi kesembilan ini peserta akan dilengkapi set penjejak (tracker) yang boleh mengesan kedudukan peserta walaupun di dalam kawasan hutan tebal.
“Pada edisi kesembilan kita ada set tracker yang kita amat bangga. Sistem itu boleh mengesan di mana kedudukan peserta dan ia mampu berfungsi selama enam hari,“ jelasnya.
Rimba Raid buat julung kali diadakan di Lenggong selepas lapan tahun penganjurannya di Pahang sejak mula diperkenalkan pada tahun 2015.
Acara lasak yang menyaksikan tiga kategori iaitu MasterClass A, Class B dan Class C itu melibatkan motosikal berkuasa tinggi yang akan melalui jarak perlumbaan sejauh 300 kilometer di dalam hutan di Lenggong.
Peserta akan menempuh beberapa halangan yang mencabar sepanjang laluan hutan tersebut antaranya bukit bukau, cerun dan sungai.
Program yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu lalu akan berakhir Ahad ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Saarani sempurnakan ‘flag off’ Rimba Raid Lenggong 2024 […]