Yasin diperintah bela diri tiga pertuduhan dadah

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman membela diri terhadap tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya.

Hakim Faiz Dziyauddin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Yasin, 48, di akhir kes pendakwaan.

“Seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang kes pendakwaan. Setelah mahkamah meneliti dan menimbang keterangan kesemua saksi secara penilaian maksimum, tertuduh dipanggil untuk membela diri ke atas ketiga-tiga pertuduhan,” katanya.

Ketika keputusan dibacakan, Muhammad Yasin yang berada di dalam kandang tertuduh kelihatan tenang dan setelah jurubahasa menerangkan pilihan yang diberikan, dia memilih untuk meneruskan perbicaraan dengan berdiam diri.

“Yang Arif Tuan Hakim, saya memilih untuk berdiam diri,” kata Muhammad Yasin.

Peguam Ariff Azami Hussein mewakili Muhammad Yasin memberitahu mahkamah, pihaknya telah bersedia dengan saksi pembelaan pertama iaitu Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Ahmad Zuhaini Mahamad Amin.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya pada 11.05 malam, 24 Mac tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, pada tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, serta Seksyen 6B(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

 

Ikuti kami di media sosial

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI