3 muslimat Pas Sungai Petani maut dirempuh kereta

TANJUNG MALIM – Tiga Ahli Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Kedah maut dirempuh Toyota Altis ketika memberikan bantuan kepada penumpang Mitsubishi Triton yang terbalik di Kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini, pada Jumaat.

Ketua Unit Khas Wanita Muda PAS Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23 dan Ketua Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, maut di tempat kejadian sementara Penolong Setiausaha Pas Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Slim River.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata ketika kejadian pada jam 2.30 petang itu, ketiga-tiga mereka yang menaiki Toyota Fortuner baru sahaja pulang dari menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke-69 di Shah Alam, Selangor.

Katanya lagi, kejadian itu juga turut melibatkan masing-masing dua buah kereta dan motosikal.

Mohd Hasni berkata sebelum kejadian, sebuah Mitsubishi Triton dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah telah hilang kawalan sebelum terbalik di longkang kiri jalan.

“Kemudian enam individu iaitu penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR, penunggang motosikal Honda EX5, pemandu Perodua Myvi dan tiga yang menaiki Toyota Fortuner memberhentikan kenderaan masing-masing di lorong kecemasan bagi memberikan bantuan.

“Lima minit kemudian, sebuah Toyota Altis yang dipandu Lai Chun Hou, 30, datang dari arah sama di lorong kanan telah hilang kawalan sebelum merempuh tiga kenderaan serta enam individu itu sebelum kesemua mereka terhumban ke dalam longkang di kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Mohd Hasni rempuhan itu telah mengakibatkan dua mangsa maut di tempat kejadian, satu meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan sementara mangsa-mangsa lain mengalami kecederaan ringan.

Katanya hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati Toyota Altis yang terbabas dan merempuh kesemua mangsa di lorong kecemasan merupakan punca kemalangan.

Menurutnya lagi, pemandu Mitsubishi Triton yang terbalik pada awal dan pemandu Toyota Altis tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Proses bedah siasatan ke atas mangsa-mangsa maut akan dijalankan di Hospital Slim River, hari ini. Sementara pemandu Toyota Altis akan ditahan pihak polis dalam tempoh 24 jam bagi siasatan lanjut” tambahnya lagi. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI