KUALA KANGSAR – Kerajaan Perak sedang memuktamadkan perjanjian dengan Khazanah Air Perak (KAP) berhubung terma dan syarat pengurusan air yang merupakan hak milik kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, proses berkenaan kini berada di peringkat akhir bagi menyelaraskan perjanjian tersebut.
Menurutnya, sebelum ini anak syarikat milik penuh KAP iaitu Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd (PAIP Perak) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) telah menandatangani Perjanjian Bekalan Air Pukal (BWSA).
“Kita akan bawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan apabila dipersetujui, baru perjanjian itu boleh ditandatangani antara KAP dan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Keenam Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Pada Julai lalu, KAP dan PBAPP telah memeterai BWSA melibatkan penjualan air terawat dari Perak ke Pulau Pinang sebanyak 300 juta liter sehari untuk tempoh 40 tahun bermula 2032 hingga 2072.
Perjanjian tersebut tidak ada kena-mengena dengan kerajaan negeri kerana ia adalah urusan perniagaan dengan perniagaan (B2B).
KAP ialah syarikat usaha sama 50:50 antara Gamuda Berhad dan PKNPk yang ditubuhkan untuk membangunkan dan melaksanakan Skim Bekalan Air Utara Perak (NPWSS) manakala PBAPP, syarikat utiliti air Pulau Pinang adalah pembeli air terawat di bawah perjanjian itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak, Pulau Pinang meterai perjanjian bekalan air terawat pukal selama 40 tahun


