Lima fokus Perak kekal momentum hadapi 2025

PELBAGAI episod kejayaan berjaya dilakar Negeri Perak sepanjang tahun lalu, merangkumi soal ekonomi, kewangan dan pelancongan.

Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, kerajaan negeri berjaya menutup Akaun Hasil Disatukan dengan nilai surplus sebanyak RM45.62 juta.

Malah lebih manis apabila Perak Perak menerima pengiktirafan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri 2023, sekali gus menjadikan Perak antara lima negeri terbaik dalam mentadbir urus kewangan.

Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat pertunjukkan bunga api pada program Finale Tahun Melawat Perak 2024 (TMP 2024) di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 31 DISEMBER 2024.

Tirai Tahun Melawat Perak 2024 yang dilabuh pula diserikan dengan kejayaan melepasi sasaran pelancong domestik dan antarabangsa di samping Ibu Negeri, Ipoh, tersenarai antara 10 bandar terbaik untuk dilawati di Asia bagi tahun 2025 menurut majalah gaya hidup terkenal, Time Out.

Dalam meniti titian tahun 2025, Kerajaan Negeri Perak merangka pelbagai strategi sebagai usaha mengekalkan momentum kejayaan daripada segenap aspek.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah menggariskan lima fokus utama kerajaan negeri sebagai panduan menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030 untuk kebaikan negeri dan rakyat.

Perak negeri kerajaan negeri fokus saarani kewangan ekonomi TVET
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2025 di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 JANUARI 2025.

Lima fokus yang diberi keutamaan pada tahun ini adalah Ekonomi Mapan dan Berkelanjutan; Sistem Penyampaian Berimpak Tinggi; Menggilap Modal Insan Menuju Perak Sejahtera 2030; Teknologi dan Inovasi Pemacu Perubahan, serta Kelestarian dan Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana.

Di bawah fokus pertama, Ekonomi Mapan dan Berkelanjutan, Saarani berkata, kerajaan negeri akan terus memperhebatkan Ekonomi Biru, Hijau, Penjagaan dan Digital sebagai langkah strategik untuk merealisasikan aspirasi pelan pembangunan negeri.

Perak negeri kerajaan negeri fokus saarani kewangan ekonomi TVET
Nelayan membawa hasil tangkapan ikan di Sungai Manjung, Lumut. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Ekonomi Biru misalnya, beliau menjelaskan Perak memberi tumpuan kepada pengurusan sumber laut yang mampan melalui akuakultur, pelancongan maritim, selain menajamkan inisiatif mengurangkan kesan perubahan iklim.

“Kita akan melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Biru Negeri Perak pada tahun ini. Ia dijangka memperkukuh potensi sektor ini secara menyeluruh.

“Dengan kawasan persisiran pantai sepanjang 378 kilometer, sektor perikanan, pelancongan maritim, dan tenaga laut mampu menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Executive Talk Dan Perutusan Tahun Baru 2025 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, dekat sini, baru-baru ini.

Suasana sekitar Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2025 di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 JANUARI 2025.

Menerusi fokus kedua iaitu Sistem Penyampaian Berimpak Tinggi, kerajaan negeri terus memberi penumpuan kepada soal keberkesanan penyampaian awam agar semua pihak dapat merasai segala inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.

Saarani berkata, seperti yang dipedomankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, tadbir urus dan ekosistem sistem penyampaian perlu sentiasa ditambah baik bagi memastikan pembangunan yang lebih berkesan dan berimpak tinggi.

Justeru beliau memberitahu, antara perkara yang diberi perhatian adalah mengurangkan birokrasi yang melambatkan pelaburan, meningkatkan ketelusan dalam pengurusan sumber awam serta mengeratkan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Penjawat awam di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 NOVEMBER 2024.

“Kelemahan dalam sistem penyampaian boleh menyebabkan kekecewaan dan kegelisahan rakyat, dan ini berisiko menjejaskan keberkesanan dasar-dasar kerajaan.

“Oleh itu, adalah penting bagi setiap agensi kerajaan untuk sentiasa berusaha meningkatkan keberkesanan, ketelusan, dan responsif dalam menyampaikan perkhidmatan, ujarnya.

Perak sebagai Koridor TVET Negara

Sementara pada fokus ketiga, Menggilap Modal Insan Menuju Perak Sejahtera 2030, Saarani berkata, kerajaan negeri bertekad untuk menjadikan Perak sebagai Koridor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara.

Jelas beliau, Perak mahu muncul sebagai pusat kecemerlangan bidang berkenaan yang mana ia bukan hanya memenuhi keperluan tempatan, malah kerajaan negeri mahu usaha itu juga menjadi rujukan nasional.

Perak negeri kerajaan negeri fokus saarani kewangan ekonomi TVET
Gambar hiasan. Pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuat aktiviti ketika tinjauan di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat, Banting. Foto MOHD ADZLAN, 18 OKTOBER 2024.
Perak negeri kerajaan negeri fokus saarani kewangan ekonomi TVET
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (dua, kanan) pada gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Bagan Serai, Kerian, pada Jumaat. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof (dua, kiri) dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri). Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 OGOS 2024.

Tambah Saarani, kerajaan negeri mahu projek-projek berimpak tinggi seperti Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) menjadi pentas utama graduan TVET untuk menunjukkan kemampuan anak muda Perak.

Justeru dalam menyokong usaha itu, di samping perubahan dunia dalam bidang teknologi, Perak menggariskan fokus keempat iaitu Teknologi dan Inovasi Pemacu Perubahan.

Menurut Saarani, semua pihak perlu pantas dalam beradaptasi dengan perkembangan teknologi masa kini baik dalam soal industri 5.0, internet benda (IoT) mahupun kecerdasan buatan (AI) yang mencakupi pelbagai bidang.

Menara telekomunikasi di Terowong Menora-Meru Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 DISEMBER 2024.

“Pelan Transformasi Digital Negeri Perak memastikan kemajuan teknologi ini dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Kita tidak boleh berlengah untuk terus mendekatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

“Kemajuan AI dan pendigitalan ini adalah pelengkap kepada usaha TVET. Kedua-duanya saling melengkapi dalam membentuk ekosistem yang mampan, inovatif, dan inklusif,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, tragedi kebakaran hutan di Los Angeles di Amerika Syarikat yang menyebabkan kerugian kira-kira RM1.15 trillion menjadi pengajaran buat Perak dalam merangka fokus kelima, iaitu Kelestarian dan Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana.

Jelas Saarani, usaha kerajaan negeri dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana adalah termasuk kepada memperluaskan latihan simulasi bencana kepada komuniti setempat agar bersedia menghadapi situasi seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran hutan, dan tragedi kepala air.

Papan tanda kawasan banjir. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 OKTOBER 2024.

“Pada masa sama, pelaksanaan projek-projek infra yang berkaitan bencana mesti dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Ini termasuklah Projek Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM841.79 juta di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12, termasuk RTB Sungai Kinta dan RTB Kampung Gajah,” katanya.

Tambah beliau, pengurusan bencana yang cekap bukan sahaja mampu mengurangkan kemusnahan harta benda dan nyawa, malah ia juga dapat mengurangkan tekanan kepada ekonomi negeri. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak tekad mahu jadi Koridor TVET Negara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI