Belia disaran ‘pulang’, bantu tingkat ekonomi negeri – Sivanesan

GOLONGAN belia di Perak perlu menimba ilmu kemahiran bagi merebut peluang pekerjaan yang tersedia sekali gus membantu meningkatkan ekonomi di negeri ini.

Daripada 2.45 juta penduduk di Perak, 45 peratus terdiri daripada golongan belia yang merupakan aset penting bagi memastikan pembangunan di negeri ini berjalan lancar seiring dengan peredaran masa.

Justeru, bagi merealisasikan perkara ini kerajaan negeri mewujudkan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) untuk memberi peluang kepada belia meningkatkan kemahiran supaya mereka lebih bersedia menghadapi cabaran di alam pekerjaan.

PASAK adalah kesinambungan daripada Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) yang ditubuhkan pada 2011 yang sebelum ini hanya memfokuskan kepada pembagunan kerjaya dan belia namun ia dijenamakan semula serta ditambah baik dari segi peranannya dalam organisasi kerajaan negeri.

TVET pilihan terbaik untuk reskilling, upskilling

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Intergrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, bagi Belanjawan Perak 2024 kerajaan negeri telah memperuntukkan RM9 juta bagi program di bawah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dikendalikan PASAK.

Menurutnya, kira-kira 94 peratus anak muda berjaya mendapatkan pekerjaan sebaik sahaja tamat program berkenaan.

Katanya, ibu bapa juga perlu peka dengan kebolehan anak mereka kerana bukan semua cemerlang dalam bidang akademik sebaliknya ada yang cenderung ke arah bidang kemahiran.

“Kalau kita nak bercerita tentang TVET, di Perak kita ada 7,000 tenaga kerja di sini kita boleh ambil dan kita boleh latih.

Belia disaran 'pulang', bantu tingkat ekonomi negeri - Sivanesan
Para pelajar melihat pameran pada Karnival TVET di Dewan Bestari SMK Dato Ahmad Lenggong, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Sepanjang program, mereka tidak perlu mengeluarkan wang kerana semua ditanggung kerajaan malah mereka turut diberikan elaun, jadi Ibu bapa tidak perlu takut dengan masalah bayaran dan mereka akan terus ditawarkan pekerjaan.

“Jadi saya minta dan bincang dengan Pengarah Jabatan Pendidikan (JPN) supaya selepas habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pelajar tidak perlu tunggu keputusan dan tertakluk kepada peperiksaan sekolah terakhir kita tahu kedudukan pelajar.

“Jika pelajar tidak dapat menyambung pengajian mereka boleh mengikuti program TVET,” katanya pada sesi temu bual eksklusif MG Perak di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, baru-baru ini.

Ujar beliau, para peserta boleh menyertai program reskilling (meningkatkan kemahiran) dan upskilling (melaksanakan latihan semula) supaya kemahiran yang diperoleh dapat dikekalkan secara berterusan.

Tambahnya, peserta yang mengikuti program TVET berpeluang mendapat pekerjaan dengan lebih mudah memandangkan fokus pembelajaran mereka adalah berkaitan dengan kemahiran.

“Untuk rekod, bidang pekerjaan TVET yang paling tinggi adalah berkaitan dengan mekanikal dan  sains marin,” jelasnya.

Talent Perak, Jelajah Karnival Kerjaya buka peluang pekerjaan kepada belia

Beliau yang juga Pengerusi PASAK berkata, beberapa perancangan diatur antaranya Talent Perak iaitu sistem pekerjaan atas talian berdasarkan kepada kelayakan kemahiran pengalaman dan program popular iaitu Jelajah Karnival Kerjaya yang diadakan di setiap daerah di negeri ini.

“Program Jelajah Karnival Kerjaya memberi peluang kepada anak-anak muda untuk mencari pekerjaan secara bersemuka.

Belia disaran 'pulang', bantu tingkat ekonomi negeri - Sivanesan
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan pada sesi temubual eksklusif bersama MG Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Ada dua peringkat, satu mereka isi borang kekosongan jawatan serah di situ dan mereka dipanggil untuk temuduga kemudian dan satu lagi mereka akan ditemuduga di situ dan surat tawaran kerja akan diberi pada hari yang sama.

“Tiada satu syarikat yang  menawarkan kurang daripada gaji minima RM1,500 gaji minima malah ada beberapa syarikat menawarkan beberapa peluang pekerjaan lebih fleksibel ‘flexibel working hours’ dan tidak perlu ke pejabat.

“Terdapat beberapa agensi turut bekerjasama antaranya Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Invest Perak, Digital Perak dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya.

Selain itu, Sivanesan berkata, PASAK turut mengadakan libat urus bersama institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Kita masih mengalu-alukan anak muda dan siswazah supaya mereka boleh masuk ke satu lagi kategori iaitu place and train serta penekanan dalam elemen sub skill dan peserta program akan diberi peluang untuk menyertai job market.

“Selepas itu mereka akan mengikuti upskilling dan reskilling dalam bidang sama. Jadi ia adalah program berterusan dan mereka berpeluang menambah tangga gaji serta mempunyai masa depan lebih cerah,” ujarnya.

Sasar 10,000 peserta

Sivanesan berkata, sejak PASAK ditubuhkan seramai 2,600 yang sudah berjaya pada tahun lalu dan awal tahun ini.

Menurutnya, selain program untuk belia berusia antara 18 hingga 28 tahun PASAK turut mengadakan program melibatkan warga emas, orang kurang Upaya (OKU), anak yatim dan Orang Asli.

Belia disaran 'pulang', bantu tingkat ekonomi negeri - Sivanesan
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A. Sivanesan menyantuni peserta Program Pemerkasaan Orang Asli anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di Kampung Batu 10, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Impian kita tinggi. Pada masa sama, kita ada kekangan kewangan untuk menambah program baharu dan untuk merealisasikannya. Jadi, tahun ini kita akan minta tambahan peruntukan.

“Sekarang kita mempunyai program melibatkan masyarakat dan mahasiswa membabitkan 62 institusi seluruh negara iaitu IPTA (14), IPTS (20), institusi latihan kemahiran awam (7) dan institusi latihan kemahiran swasta (21).

“Kita bercadang untuk menambah bilangan peserta dan pada tahun ini seramai 2,790 peserta telah mendaftar bagi suku tahun pertama. Justeru, kita menyasarkan sehingga Disember antara 8,000 ke 10,000 peserta akan menyertai program ini.

“Mungkin tahun ini saya akan kemukakan kertas kerja untuk dapat peruntukan daripada kerajaan dan kita percaya Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad akan bersetuju dengan cadangan selaras Pelan Perak Sejahtera 2030,” jelasnya.

Kadar pengangguran Perak 3.4 peratus, banyak kerja kosong

Sementara itu, beliau memaklumkan di Perak kadar pengangguran adalah 3.3 peratus iaitu kurang 0.1 jika dibandingkan dengan data di peringkat kebangsaan iaitu 3.4 peratus.

Menurutnya, negeri ini berada dalam kedudukan selamat dan terdapat banyak jawatan kosong yang ditawarkan khususnya untuk golongan belia.

Belia disaran 'pulang', bantu tingkat ekonomi negeri - Sivanesan
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan pada sesi temubual eksklusif bersama MG Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Justeru, Sivanesan berharap dengan peluang pekerjaan dan program kemahiran yang ditawarkan PASAK akan dimanfaatkan belia di negeri ini.

“Anak muda yang berada di luar Perak boleh pulang semula ke Perak untuk mengisi kekosongan jawatan sekali gus membantu memacu ekonomi negeri,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

60 peratus pencari kerja di bawah PASAK dapat pekerjaan

148 Orang Asli sertai Program Pemerkasaan TVET Perak

7,000 belia keciciran kerja, Perak peruntuk RM8 juta perkasa TVET – Sivanesan

Belanjawan Perak 2024: RM3.5 juta perkasa agenda PASAK

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI